Thursday, July 24, 2014

Guru Perlu Kuasai Tiga Elemen.

SETIAP guru perlu menguasai tiga ele­men iaitu komited, sedia berkorban serta mengamalkan perkongsian intelektual jika mahu menjadi seorang pendidik yang cemerlang.

Itu pesanan Tokoh Guru Kebangsaan 2012, Datuk Ahmad Azmey Abu Talib yang menegaskan, untuk menjadi seorang guru cemerlang, mereka perlu komited dan beri komitmen terhadap kerja serta sayang kepada kerjaya perguruan.

“Malah guru-guru juga perlu sedia berkorban tanpa mengira masa. Selain itu, mereka juga perlu bersedia mengamalkan perkongsian intelektual pengalaman masing-masing.

“Ketiga-ketiga elemen ini perlu ada kerana pengorbanan guru sangat besar terutama ketika berdepan dengan para pelajar. Mereka juga perlu mening­katkan ilmu pengetahuan disebabkan keperluan pendi­dikan sekarang berubah dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubu­ngi baru-baru ini.

Ahmad Azmey yang juga me­rupakan Tokoh Guru Pahang 2011 berkata, setiap guru juga perlu me­ningkatkan pengetahuan dan kreativi­ti masing-masing disebabkan bidang pendidikan yang sentiasa berubah setiap tahun.

“Guru-guru perlu sentiasa me­ning­katkan pengetahuan lebih daripada yang sering diajar di bilik darjah terutama dalam mengatasi sesuatu masalah kerana pelajar-pelajar sekarang lebih cerdik.

“Jadi guru perlu sentiasa mengikut perkembangan semasa. Guru-guru perlu tingkatkan pengetahuan kerana keperluan semakin berubah terutama dengan perkembangan dalam bidang sains dan teknologi," katanya.

Beliau yang kini berkhidmat sebagai Pengarah Pendidikan Menengah dan Rendah Felda berkata, golongan pendidik juga perlu mempunyai keupayaan untuk membentuk pelajar menjadi lebih kreatif dan holistik.

“Tidak kira guru dalam mata pelajaran apa sekalipun, mereka mesti memiliki keupayaan untuk membentuk individu (pelajar) yang holistik," jelasnya.

Tambah beliau, bidang pendidikan juga perlu tertumpu kepada pembangunan sahsiah, karakter serta intelektual yang mana guru-guru perlu menjalankan program-program yang boleh membantu dalam aspek pembangunan pendidikan.

“Pastikan para pelajar dapat membentuk sahsiah secara holistik. Ini le­bih penting daripada mengutamakan akademik semata-mata," katanya.

Credit to:.www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20140630/pe_04/Guru-perlu-kuasai-tiga-elemen

Wednesday, March 19, 2014

Keputusan STPM hari ini, SPM esok.

Kuala Lumpur: Keputusan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) 2013 dikeluarkan hari ini manakala keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 esok.
Bagi keputusan STPM, semua calon boleh mengambil keputusan mereka di sekolah masing-masing bermula jam 12 tengah hari, manakala calon persendirian akan memperolehinya melalui pos. 
Pegawai Perhubungan Awam Majlis Peperiksaan Malaysia, Khawari Idris berkata, seramai 55,214 calon STPM tahun lepas menduduki peperiksaan di 773 buah pusat peperiksaan di seluruh negara. 

Calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui SMS.

Calon juga boleh melayari portal Majlis Peperiksaan Malaysia di http://www.
mpm.edu.my mulai 12 tengah hari. - BERNAMA

Monday, February 24, 2014

Guru tak perlu teruskan PBS sehingga diberitahu.


KUALA LUMPUR - Guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sehingga kenyataan mengenainya dibuat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam masa terdekat. 

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Khair Mohamad Yusof dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya akan memaklumkan hasil penelitian dan kajian semula berkaitan PBS setelah Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin berpuas hati dengan penambahbaikan yang dicadangkan. 

Katanya penambahbaikan itu mengambil kira dapatan kajian terbaharu KPM, rungutan guru dan mengambil kira pandangan masyarakat termasuk Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM).

"KPM telah mengambil inisiatif meneliti semula pelaksanaannya agar dapat mengurangkan bebanan tugas guru, dengan memfokuskan kepada rombakan perkara yang melibatkan kekerapan guru memasukkan data termasuk pengisian borang perekodan prestasi murid yang boleh membebankan guru," katanya.   

Selain itu, antara tidakan yang diambil KPM ialah menubuhkan Jawatankuasa Task force PBS di peringkat kementerian yang akan mengadakan mesyuarat setiap minggu bagi meneliti dan menilai perkembangan setiap tindakan terhadap penelitian PBS.

"War Rooms PBS di peringkat KPM juga diwujudkan untuk menangani isu-isu berbangkit berkaitan pelaksanaan PBS dengan segera dan berkesan termasuk membuat maklum balas segera mengenainya dari masa ke semasa," katanya. 

KPM juga sedang melaksanakan usaha penambahbaikan terhadap capaian Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) bagi memastikan guru boleh mengakses sistem itu dengan lebih mudah dan berkesan. 

Beliau juga memaklumkan bahawa KPM turut menangguhkan taklimat PBS di peringkat sekolah rendah dan menengah seluruh negara bermula 17 Februari lalu untuk mengelakkan kekeliruan terhadap pelaksanaannya.

KPM juga, katanya, telah mengadakan perbengkelan melibatkan guru termasuk kesatuan-kesatuan guru dalam usaha penelitian dan kajian semula pelaksanaan PBS pada Februari lalu dan hasilnya akan dibentangkan dalam tempoh terdekat. 

"Kesemua tindakan itu diambil bagi memastikan setiap elemen pelaksanaan PBS dapat memberikan taksiran secara holistik terhadap murid dan dalam masa sama mengurangkan beban guru yang melaksanakannya," katanya. - Bernama

Credit to: Sinar Harian online