Showing posts with label Berita. Show all posts
Showing posts with label Berita. Show all posts

Saturday, April 14, 2012

Guru Sambung Ph.D Di Sekolah.

JOHOR BAHRU – Guru yang berhasrat menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah (Ph.D) kini boleh mengikuti pengajian di lima buah sekolah terpilih di negara ini.


Program Ph.D yang julung-julung kali diadakan itu turut membabitkan pembinaan makmal khas di lima buah sekolah terpilih dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Sebanyak 100 tempat bakal ditawarkan kepada guru pada peringkat awal.


Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Zaini Ujang berkata, kelima-lima buah sekolah terlibat terletak di Johor, Negeri Sembilan, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.


Sebelum itu, menurutnya, UTM telah diberi kepercayaan daripada Kementerian Pelajaran bagi mengendalikan program berkenaan.


“UTM menyediakan penyelia bagi kesemua guru terlibat dengan setiap sekolah dibahagikan kepada 20 pelajar.


“Sebanyak RM80 juta diperuntukkan dan setiap sekolah menerima sebanyak RM50,000 bagi tujuan naik taraf makmal,” katanya.

Sumber: Kosmo online

Monday, December 26, 2011

Penuntut Rentung.


KUALA LIPIS - Seorang penuntut tahun akhir Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan jurusan Perakaunan, rentung dengan 90 peratus tubuh badannya terbakar dalam satu kemalangan di sini kira-kira jam 5 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, mangsa Hadino Zafan Jasman, 23, yang memandu kereta jenis Proton Saga BLM sedang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian di Kilometer 23 Jalan Lipis-Benta, kereta dipandu Hadino hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan.

“Mangsa dipercayai cuba mengawal kenderaan, tetapi gagal mengakibatkan kereta Saga BLM itu berpusing beberapa kali sebelum melanggar belakang sebuah kereta jenis Honda yang datang dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kota Bharu.

“Akibat pelanggaran itu, kereta Saga BLM mangsa terbakar dan mangsa tidak sempat menyelamatkan diri.

“Dalam pada itu, pemandu kereta jenis Honda, Mohd Zin Kasim berusaha mengeluarkan isterinya, Hamidah Kasur, 51, beserta dua cucu, Mohd Fahmi Dannial, 4, dan Mohd Farhan Darwiz, 10 bulan dari kereta yang mereka naiki,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Abdul Razak berkata, sejurus mereka berjaya keluar dari kereta berkenaan, kenderaan berkenaan turut terbakar.

“Walaupun pemandu dan penumpang kereta Honda berkenaan berjaya menyelamatkan diri, tetapi Mohd Farhan Darwiz, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala,” katanya.

Abdul Razak berkata, pihaknya terpaksa menggunakan khidmat pakar forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri bagi mengenal pasti mayat Hadino Zafan berikutan semua identiti mangsa telah terbakar dalam kemala­ngan berkenaan.

“Pihak forensik berjaya menimbulkan nombor enjin dan casis kereta yang terbakar. Mengikut semakan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kereta berkenaan didaftarkan di atas nama Jasman Bagiman yang juga Pegawai Tentera berpangkat Leftenan Kolonel dan bertugas di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur.

“Beliau sendiri telah sampai ke tempat kejadian bersama pegawai penyiasat bagi urusan mengecam mayat melalui jam tangan dan sedikit dokumen yang tidak terbakar serta telah menuntut jenazah,” katanya.

Credit to: Sinar Harian Online

Sunday, September 25, 2011

Bekas Pelajar KMTK Kini Di USM.

Assalamualaikum dan selamat pagi.

Rasa seronok bila melihat bekas-bekas pelajar KMTK menjalani minggu orientasi di portal
Kampus Kejuruteraan USM.

Moga-moga anda dapat menyesuaikan diri dan belajar dengan bersungguh-sungguh.
InsyaAllah, anda pasti akan berjaya.

Thursday, August 25, 2011

CEO Apple, Steve Jobs meletak jawatan.

PENGASAS Apple, Steve Jobs berdiri di hadapan foto dirinya dan rakan sejawatnya, Steve Wozniak (kanan) ketika zaman awal pembabitannya sebelum muncul sebagai syarikat kedua gergasi dunia dalam bidang teknologi ketika melancarkan tablet iPad di San Francisco, California pada Januari tahun lalu. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Pengasas Apple, Steve Jobs meletakkan jawatan sebagai Ketua Eksekutif (CEO) hari ini selepas sekian lama tercetus spekulasi dia akan berundur berikutan penyakit kanser yang dihidapinya.


Dalam satu kenyataan bertulis, Apple, yang kini muncul syarikat kedua paling bernilai di pasaran dunia, mengumumkan Ketua Bahagian Jualan dan Operasi, Tim Cook akan mengambil alih jawatan CEO.


Bagaimanapun, Jobs terus kekal sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Apple.


“Kepimpinan dan visi Steve yang mengagumkan menyelamatkan Apple sehingga memastikan syarikat berada dalam kedudukan kukuh dan inovatif sebagai syarikat berasaskan teknologi terunggul di dunia," kata ahli lembaga pengarah, Art Levinson dalam satu kenyataan.



“Lembaga Pengarah juga amat yakin dengan Tim sebagai orang paling tepat untuk menjadi CEO kami selepas ini,” katanya.



Tiada sebarang sebab diberikan mengapa Job meletakkan jawatannya tetapi ia berkaitan masalah kesihatan termasuk mengambil cuti sakit yang panjang bagi melakukan pemindahan hati pada 2009.



Malah, kebelakangan ini beliau jarang kelihatan di majlis umum sehingga timbul spekulasi dia bakal meninggalkan syarikat yang dipimpinnnya sejak 1976 itu. - AFP 

Credit to: Berita Harian online

Wednesday, January 5, 2011

Pendaftaran IPTA pada 2 dan 7 September.

GEORGE TOWN - Pendaftaran pelajar bagi sesi akademik 2011 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan diadakan antara 2 September dan 7 September ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor IPTA, Prof. Tan Sri Dr. Dzulkifli Abdul Razak.

Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, perkara itu dipersetujui pada mesyuarat antara naib-naib canselor IPTA semalam.
"Pihak IPTA diberi kebebasan untuk membuat pendaftaran pelajar baru antara 2 September hingga 7 September ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Perutusan Tahunan Naib Canselor USM di sini, hari ini.
Beliau berkata, untuk permulaan, perubahan itu pastinya akan menimbulkan sedikit kesukaran kepada pihak universiti. - Bernama
Sumber: Kosmo Online

SZ: Kepada pensyarah-pensyarah dan pelajar-pelajar KMTK yang berminat untuk menghebahkan blog anda, sila tinggalkan url anda pada ruangan komen di bawah. Terima kasih.