Wednesday, July 20, 2011

Hanya USM Tanpa UPU.


KUALA LUMPUR 19 Julai – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak bercadang membenarkan mana-mana institut pengajian tinggi awam (IPTA) selain Universiti Sains Malaysia (USM) membuat pengambilan terus pelajar tanpa melalui Unit Pusat Universiti (UPU).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, buat masa ini hanya USM dibenarkan berbuat demikian memandangkan universiti terbabit telah pun mendapat pengiktirafan sebagai Universiti Apex.

Katanya, kementerian juga belum menetapkan sebarang kriteria bagi melayakkan sesebuah universiti untuk memohon dikecualikan proses UPU tersebut.

“Setakat ini semua kemasukan universiti perlu melalui UPU. Pihak kementerian belum lagi membuat keputusan untuk membenarkan semua universiti berbuat demikian.

“Pengambilan pelajar seterusnya adalah pada September 2012. Ada setahun lagi, jadi tidak perlu terburu-buru untuk membuat keputusan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Universiti Malaya (UM) semalam menjangkakan akan mengikuti langkah USM untuk membuat pengambilan terus pelajar tanpa melalui UPU.

UM kini sedang menunggu lampu hijau daripada kementerian berkenaan manakala USM pula telah memansuhkan penggunaan sistem UPU setelah mendapat pengiktirafan sebagai Universiti Apex.

Bagaimanapun beberapa universiti awam lain seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menganggap sistem UPU masih relevan.

Sumber: Utusan online

1 comment:

Khalipah Mastura KHalid said...

sebab tu la kalau di offer ke USM,kena terima without much hasitation sebab usm ni very selective kan zaidi.