Monday, August 27, 2012

938 Judul Diterjemah.

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) sudah menterjemah dan menerbitkan sebanyak 938 judul buku pelbagai bidang dan bahasa untuk pasaran tempatan serta antarabangsa sejak 1993 sehingga bulan lalu, kata Pengarah Urusannya, Mohd Khair Ngadiron.

Beliau berkata, berdasarkan statistik penerbitan, pada 2011 saja, 170 judul buku diterjemahkan oleh institut itu yang sebelum ini dikenali dengan nama Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM).

“Sejak penubuhannya pada 1993, ITBM sudah mengembangkan industri terjemahan negara, mengendalikan hal ehwal berkaitan terjemahan, kejurubahasaan dan pemindahan ilmu sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa,” katanya.


Selain menerbitkan buku asing terpilih ke bahasa Melayu, institut itu menterjemahkan karya tempatan ke bahasa lain seperti bahasa Perancis, Jerman, Korea, Sepanyol, Mandarin dan Tamil jika ia dikenal pasti boleh memberi impak kepada masyarakat antarabangsa, katanya. Mohd Khair berkata, ITBM bertanggungjawab memperkasa dan memperbanyakkan penerbitan karya asli penulis tempatan bagi merancakkan lagi industri perbukuan negara.

Beliau berkata, ia selaras dengan peningkatan mandat institut itu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 16 Disember 2011. Katanya, selaras dengan penjenamaan semula ITNM kepada ITBM, institut itu membuka ruang kepada penulis terutama golongan muda supaya karya mereka dapat diterbitkan dalam masa yang singkat. Mohd Khair berkata, ITBM menetapkan Indeks Prestasi Utama (KPI) iaitu menerbitkan buku dalam tempoh tiga hingga enam bulan selepas manuskrip bersih bahan berkenaan diterima. “ITBM berjaya menerbitkan 36 judul karya asli, sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak 10 judul sebulan bermula pada Jun 2012,” katanya.


Selain itu, ITBM menetapkan kadar penerbitan 60:40 peratus iaitu 60 peratus karya yang dihasilkan adalah terjemahan, manakala 40 peratus lagi adalah bahan karya asal. - Bernama

Credit to:  Harian Metro online

No comments: