Ekoran rungutan dan dakwaan pelbagai pihak bahawa sistem pendidikan negara terlalu berpaksikan peperiksaan maka kerajaan memperkenalkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bagi menggantikan sistem peperiksaan sedia ada yang juga sebahagian daripada Program Transformasi Pendidikan.
Sistem PBS adalah salah satu usaha kerajaan melalui Kementerian Pelajaran membangunkan modal insan secara holistik dengan menekankan penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual, pembudayaan sikap progresif dan pengamalan nilai, etika dan moral yang tinggi.
Matlamat itu seperti yang terkandung pada capaian Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), Pelan Integriti Nasional (PIN) dan seperti yang dihasratkan dalam Misi Nasional.
Sistem PBS ini mula dilaksanakan di sekolah rendah pada tahun 2011 dan dijadualkan menjelang tahun 2016, murid-murid sekolah rendah akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang telah ditambah baik.
Bagi peringkat sekolah menengah, sistem PBS baru digerakkan dan dijangka dalam tempoh dua tahun berikutnya, ia akan mula dilaksanakan bagi penambahbaikan pada Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
PBS merupakan satu pentaksiran bersifat holistik yang dianggap berkemampuan menilai aspek kognitif (intelek), efektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).
Secara spesifik, PBS dioptimumkan bagi mentaksir bidang akademik dan bukan akademik, memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif (pentaksiran yang dijalankan semasa proses pembelajaran berlangsung) dan sumatif (pentaksiran di akhir satu unit pembelajaran) berasaskan sekolah.
Namun, apakah sebenar objektif PBS? Umum mengetahui pelaksanaan sistem baru ini ialah mendapatkan gambaran secara keseluruhan tentang potensi individu, memantau pertumbuhan dan membantu meningkatkan potensi individu dan membuat pelaporan bermakna tentang pembelajaran individu.
Dalam usaha penambahbaikan kepada pentaksiran sekolah sedia ada, Pentaksiran Rujukan Standard diperkenalkan iaitu menggunakan Standard Prestasi untuk melihat kemajuan dan pertumbuhan pembelajaran serta pencapaian prestasi seseorang murid.
Ia mengandungi proses mendapatkan maklumat tentang sejauh mana murid tahu, faham dan boleh buat atau telah menguasai apa yang dipelajari berdasarkan pernyataan standard prestasi yang ditetapkan mengikut tahap-tahap pencapaian seperti dihasratkan dalam dokumen kurikulum.
Harus ditegaskan bahawa Pentaksiran Rujukan Standard tidak membandingkan pencapaian seseorang murid dengan murid lain tetapi melapor prestasi murid dalam pembelajaran dengan menerangkan tentang kemajuan dan pertumbuhan murid dalam pembelajaran dengan merujuk kepada pernyataan standard.
Murid-murid dinilai secara adil dan saksama sebagai individu dalam masyarakat berdasarkan keupayaan, kebolehan, bakat, kemahiran dan potensi diri tanpa dibandingkan dengan orang lain.
Pihak sekolah mampu mendapatkan maklum balas yang lengkap dalam bentuk data kualitatif dan kuantitatif yang merangkumi segala aspek tentang diri seseorang murid itu bagi membolehkan pihak yang bertanggung jawab mengenali, memahami, menghargai, mengiktiraf dan memuliakan anak didik sebagai insan yang berguna, penting dan mempunyai potensi untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan bangsa mengikut keupayaan dan kebolehan masing-masing.
PBS memberi autonomi kepada guru melaksanakan pentaksiran berdasarkan kesediaan murid kerana tujuan sistem ini diperkenalkan ialah untuk membantu guru dan murid mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung.
Wajar diingatkan bahawa PBS tidak membandingkan murid dengan murid lain malah kejayaan murid diukur bersandarkan standard yang harus dicapai di sesuatu tahap pembelajaran.
Adalah diharapkan dengan cara ini tekanan ke atas murid dan guru dapat dikurangkan kerana murid tidak dibandingkan dengan kumpulan yang lebih cerdas atau terpaksa menunggu rakan lain yang belum menguasai sepenuhnya sesuatu kemahiran yang diajar untuk maju.
Apa yang penting, PBS ini jika dilaksanakan dengan baik dan terancang, ia bakal mewujudkan persekitaran yang harmonis dalam kelas untuk untuk perkembangan individu dan pada masa yang sama memberi banyak manfaat serta mampu mengurangkan beban tugas guru.
Lebih jelas, proses penambahbaikan yang diperkenalkan Kementerian Pelajaran menerusi PBS ini memberi gambaran bahawa sistem peperiksaan berpusat seperti UPSR dan PMR bukan lagi suatu bentuk penilaian tunggal dalam mengukur pencapaian murid menguasai pembelajaran.
Sumber: Utusan Online
No comments:
Post a Comment