Monday, October 22, 2012

RM1 bilion dana R&D 2013.


PUTRAJAYA 18 Okt. - Semua universiti perlu bersedia merebut peluang mendapatkan dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebanyak RM1 bilion yang disediakan kerajaan pada tahun depan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM600 juta diperuntukkan kepada universiti penyelidikan dan RM400 juta lagi untuk universiti bukan penyelidikan.

Katanya, peruntukan bagi R&D tahun depan meningkat berbanding RM700 juta yang disediakan kerajaan untuk tahun ini.

"Penyediaan dana ini membuktikan kerajaan bersedia membangunkan aktiviti R&D kerana kita mahu menjadi sebuah negara yang mempunyai ekonomi berasaskan inovasi.

"Jadi pihak universiti perlu membuat persediaan dengan memastikan mereka mempunyai infrastruktur penyelidikan dan jenis penyelidikan yang kredibiliti," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis pelancaran Unitar International University di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Unitar Capital Sdn. Bhd., Datuk Seri Dr. Suleiman Mohamed dan Naib Canselor Unitar International University, Prof. Dr. Abdul Razak Habib.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) perlu menyebarkan program pengajian baru dan tidak terikat dengan ilmu lama.

Katanya, penemuan ilmu baru tersebut pasti dapat diperoleh melalui penyelidikan yang dilakukan.

"Keutamaan patut diberikan kepada bidang nano teknologi dan berimpak tinggi kepada pembangunan negara," katanya.

Pada masa sama, beliau berharap pihak IPTS dapat memberi perhatian untuk menawarkan program baru yang boleh menjayakan sektor Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA).

"Hal ini kerana 3.2 juta ruang pekerjaan akan diwujudkan dalam sektor tersebut menjelang 2020," katanya.


Credit to:: http://www.utusan.com.my/utusan/Kampus/20121019/ka_04/RM1-bilion-dana-RD-2013#ixzz29ze6XvX3 

No comments: