Monday, February 27, 2012

Tambahan 1,000 Tempat Pelajar India Ke Kolej Matrikulasi.


KLANG 26 Feb. – Kuota untuk masyarakat India bagi mengikuti kursus di kolej matrikulasi milik kerajaan ditambah sebanyak 1,000 tempat lagi bermula sesi 2012/2013.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu melihat lebih ramai masyarakat India berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi terutama di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Najib berkata, keputusan itu dibuat selepas cadangan tersebut diutarakan oleh Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel pada Perhimpunan Agung MIC tahun lalu.

“Selepas berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran, kami bersetuju menambah sebanyak 1,000 tempat baru setahun kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi masyarakat India.

“Ini bermakna jumlah pelajar India di kolej matrikulasi milik kerajaan akan meningkat dari 559 sekarang kepada lebih 1,500 pada sesi 2012/2013,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 20,000 masyarakat India sempena Pesta Ponggal di Kelab Kilat Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kapar di sini hari ini.

Selain Palanivel yang juga merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, hadir sama ialah, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Dalam ucapannya itu, Najib juga mengumumkan Kerajaan Pusat akan menghulurkan bantuan kewangan untuk membina sebuah krematorium di pekan Kapar.

Selain itu, katanya, bantuan kewangan juga akan dihulurkan untuk pembinaan satu blok tambahan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Methodist dan tiga blok lagi di SJKT Simpang Lima, Klang sebagai sekolah Tamil kluster yang pertama di Malaysia.

Sumber: Utusan online

No comments: