Tuesday, October 1, 2013

Kokurikulum Baharu Untuk Program Matrikulasi.


SUFAAT Tumin (kiri) diperhatikan Dr. Sariah Abd. Jalil (dua kiri) ketika menyampaikan piala kepada pemenang dalam Majlis Penutupan Kakom 2013 di Kolej Matrikulasi Johor, Sagil, Ledang, Johor, malam semalam. - UTUSAN/ZULHISHAM ISAHAK

LEDANG 30 Sept. - Kementerian Pendidikan menggubal satu sukatan baharu kokurikulum bagi program matrikulasi supaya seiring dengan kehendak terkini institusi pendidikan tinggi (IPT).
Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk Sufaat Tumin berkata, kokurikulum baharu yang sedang digubal itu mempunyai unsur-unsur pembentukan insan berkualiti, selain penambahbaikan dan pembaharuan bersesuaian dengan kehendak semasa.
"Kita perlu bertindak secara proaktif agar program matrikulasi tetap menjadi pilihan utama para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mendapat kepercayaan tinggi dalam kalangan ibu bapa dengan cara menyediakan peluang pendidikan.
"Pendidikan kokurikulum mempunyai ruang cukup luas untuk diterokai dan mampu menjana pelajar yang simbang dan berkualiti ke institusi pengajian tinggi kelak," katanya semasa menutup Karnival Kokurikulum Matrikulasi (Kakom) 2013 di Kolej Matrikulasi Johor di Sagil dekat sini malam tadi.
Yang turut hadir Pengarah Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan, Dr. Sariah Abd. Jalil dan Pengarah Kolej Matrikulasi Johor, Sasman Yasir.
Sufaat berkata, penerapan kegiatan kesukarelawan dalam aktiviti kokurikulum akan dapat membentuk pelajar yang sentiasa peka dengan persekitaran serta mampu bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.
Unsur-unsur patriotisme yang diterapkan dalam sukatan baharu kokurikulum itu juga menunjukkan bahawa program matrikulasi amat menitikberatkan proses pembentukan sahsiah pelajar, katanya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131001/dn_06/Kokurikulum-baharu-untuk-program-matrikulasi#ixzz2gQM5oXRf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: