Tuesday, October 8, 2013

Tun M khuatir tahap bahasa Inggeris pelajar.

KANGAR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad khuatir dengan tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar kerana ia menjejaskan masa depan mereka.

Beliau berkata ada graduan yang langsung tidak menguasai bahasa Inggeris menyebabkan mereka tidak mendapat tempat di sektor pekerjaan.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Presiden Universiti Asia (AUPF) 2013 di kampus Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh
Putra dekat sini hari ini, Dr Mahathir berkata mereka yang berkebolehan menguasai bahasa Inggeris lebih mudah diterima bekerja.

Sebagai contoh, beliau berkata baru-baru ini sebanyak 333 calon lepasan institusi pengajian tinggi dipanggil temu duga untuk jawatan berkaitan IT (teknologi maklumat) namun hanya tujuh daripada mereka yang diterima bekerja kerana selebihnya tidak menguasai bahasa Inggeris.

"Semasa ditemu duga dalam bahasa Inggeris, ada antara mereka yang minta soalan diterjemah dalam bahasa Melayu," katanya.

Dr Mahathir berkata beliau juga seorang pejuang bahasa sejak 1947 namun sebagai seorang yang pragmatis, bahasa Inggeris tidak boleh dipinggirkan.

Beliau berharap bahasa Inggeris diguna secara meluas dalam mata pelajaran sains dan matematik demi masa depan pelajar.

Katanya, ada perkataan atau istilah yang sukar untuk diterjemah, terutama bagi mata pelajaran sains, dan sewajarnya ia dalam bahasa Inggeris untuk mata pelajaran berkenaan.

Terdahulu, semasa menyampaikan ucaptama, Dr Mahathir turut menekankan kepentingan penggunaan bahasa Inggeris bagi mata pelajaran Sains dan Matematik. - Bernama

Credit to: Sinar Harian online

No comments: